Hanya mampu lihat api bakar rumah - Utusan Malaysia

Hanya mampu lihat api bakar rumah

MOHD. Badrul Hizan Ishak (kiri) menunjukkan lokasi Lim Phaik Luang yang ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Bawah Gunung berhampiran Taman Sri Baling, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kebakaran sebuah rumah di Kampung Bawah Gunung, dekat Taman Sri Baling, tengah malam kelmarin yang meragut nyawa seorang warga emas me­ninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiran mangsa.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, Mohd. Badrul Hizan Ishak, 38, berkata, dia sudah melelapkan mata ketika itu namun dikejutkan isteri yang bangun untuk membancuh susu anak mereka selepas melihat cahaya terang dari bahagian dapur.

“Isteri, Noraini Omar, 37, ternampak api melalui tingkap dapur rumah kami lalu segera kejutkan saya. Saya bingkas bangun dan lari keluar rumah lalu ternampak api sedang marak di dalam rumah jiran.

“Oleh kerana saya melihat api sangat marak yang tidak mungkin saya dapat berbuat apa-apa termasuk menyelamatkan mangsa, saya hanya mampu mengalihkan kereta kami yang berjarak empat meter dari rumah mangsa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam kebakaran itu, ibu tunggal, Lim Phaik Luang, 82, yang tinggal bersendirian meninggal dunia dipercayai terperangkap di dalam rumah berkenaan kerana tidak dapat keluar semasa kebakaran berlaku.

Dia ditemukan rentung setelah rumah berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus.

Menurut Mohd. Badrul Hizan, dia melihat api semakin marak di bahagian ruang tamu rumah mangsa yang difahamkan menjadi tempat kebiasaan kepada warga emas itu berehat atau tidur di situ.

“Mangsa tidak menghidap apa-apa penyakit kronik dan boleh berjalan serta berge­rak seperti biasa. Saya juga tidak dengar jeritan daripada mang­sa ketika itu.

“Pada waktu siang dia dilihat keluar dari rumah­nya sebelum kira-kira pukul 10.30 malam bapa saudara saya nampak mangsa baharu pulang setelah dihantar oleh seseorang yang mungkin ahli keluarganya,” katanya.

Katanya, mujur bomba cepat tiba sehingga berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah mereka walaupun sebuah lagi rumah jiran turut musnah disambar api.

Sementara itu, Pegawai Penguasa Bomba, Mohd. Jamil Mat Daud berkata, setibanya di tempat kejadian, kebakaran telah melibatkan tiga buah unit rumah kelas B2 yang masing-masing berkeluasan 20×40.

“Kebakaran berjaya dikawal dan kemusnahan dianggarkan 90 peratus bagi unit satu dan dua, manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN