Hanya 30 peratus syarikat tunai zakat perniagaan kepada LZS - Utusan Malaysia

Hanya 30 peratus syarikat tunai zakat perniagaan kepada LZS

LZS
MOHD. Sabirin Mohd Sarbini (tiga, kanan) bergambar bersama pembayar zakat pada Majlis Iftar bersama Muzakki dan penyerahan Zakat Ramadan (IMTIYAZ) 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tahap kesedaran syarikat dalam membayar zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) masih rendah apabila hanya 30 peratus menunaikan tanggungjawab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd Sarbini berkata, faktor itu antaranya  berkemungkinan wujud kekangan terutama syarikat yang memiliki ramai pemegang saham.

Katanya, ia menyebabkan syarikat itu memerlukan persetujuan semua pemegang saham selain faktor kekangan kedudukan kewangan.

“LZS melihat masih ada ruang kepada syarikat-syarikat menunaikan zakat perniagaan di Selangor.

“Buat masa ini, hanya sekitar 30 peratus syarikat yang sudah melaksanakannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan (Imtiyaz) 2023 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, petang tadi.

Pada majlis itu, LZS menerima zakat perniagaan daripada 47 syarikat dan pengeluar zakat individu berjumlah RM3.27 juta termasuk Maybank Islamic Berhad sebanyak RM623,138; Little Caliphs International Sdn. Bhd. (RM600,000) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) (RM120,737.76).

LZS turut menyerahkan bantuan zakat kepada empat individu dan institusi dengan keseluruhan berjumlah RM29,217,330.

Jelas Mohd. Sabirin, sebanyak sembilan majikan turut menerima pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan bersama menyantuni golongan asnaf menerusi komitmen menunaikan zakat perniagaan dan zakat pendapatan.

Tambah beliau, majikan itu membayar melebihi jumlah ditetapkan yang meliputi empat kategori iaitu belian yang melebihi RM1 juta.

“Bagi kategori emas, ia melibatkan bayaran zakat perniagaan antara RM500,000 hingga 999,000 manakala perak (RM100,000 hingga 499,000) dan gangsa (RM50,000 hingga RM99,000). Mereka (penerima) cemerlang dari segi komitimen mereka secara berterusan dengan LZS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya