Gurauan ‘berkabung’ jadi kenyataan - Utusan Malaysia

Gurauan ‘berkabung’ jadi kenyataan

KHAIRUDIN Mohd. Daud dan anaknya, Nur Safia Humaira menunjukkan selipar putih milik Muhammad Yusuf. Kanak-kanak itu ditemukan mati lemas ketika berkelah bersama ahli keluarga di Sungai Ketil berhampiran Loji Air Sungai Limau di Kupang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Gurauan seorang ahli keluarga bahawa mereka akan ‘berkabung’ sempena Aidilfitri tahun ini bertukar menjadi ke­nyataan apabila seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas ketika berkelah di Sungai Ketil di Kupang, kelmarin.

Situasi spontan itu terjadi setelah Khairudin Mohd. Daud, 43, sekeluarga sedondon me­ngenakan persalinan raya berwarna hitam yang dibeli sebelum menyambut hari raya minggu lalu.

Malah Khairudin berkata, permintaan arwah anaknya, Muhammad Yusuf, 10, yang berkeras mahukan selipar berwarna putih walaupun tiada saiz yang sepadan dengan ka­kinya menjadi petanda anak kelima itu akan ‘pergi’ meninggalkan mereka sekeluarga.

“Ketika selesai membeli baju raya warna hitam, salah seorang daripada ahli keluarga kami ada menyebut dengan nada melawak bahawa ‘raya tahun ini kita berkabung ya’, rupa-rupanya itu adalah petanda Yusuf pergi dahulu meninggalkan kami kerana mati lemas.

“Saya cuba penuhi permintaan anak dengan mencari selipar putih di merata kedai tetapi tiada saiz untuknya. Saya cuba pujuk untuk dia ambil warna lain tetapi dia tetap enggan dan masih mahu yang warna putih, jadi saya terpaksa belikan selipar yang saiznya memang besar berbanding kakinya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.10 petang, Muhammad Yusuf ditemukan mati lemas ketika sedang mandi dan berkelah bersama keluarganya di sungai berhampiran Loji Air Sungai Limau, di sini.

Bagaimanapun Khairudin dan isteri, Siti Aminah Abdul Aduwad, 39, reda dengan takdir Ilahi walaupun tetap bersedih dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah, tambahan pula ketika suasana gembira menyambut hari raya masih terasa.

Katanya, mereka baru sahaja sampai ke kampung dari Subang, Selangor untuk menghantar salah seorang anaknya ke asrama di Gurun dan singgah bermalam di situ untuk beraya bersama sanak-saudara selain sudah bercadang untuk berkelah di tepi sungai yang berjarak hanya 100 meter dari rumah bapanya.

“Ketika kejadian saya masih berehat di rumah setelah keletihan kerana semalaman memandu kereta dari Subang, manakala isteri dan anak-anak serta adik-beradik yang lain sudah ke sungai untuk berkelah dan mandi-manda.

“Sekitar tengah hari, isteri balik ke rumah mencari Yusuf dan beritahu anak hilang ketika mandi sungai dan cuba mencari sekiranya dia berada di sekitar kawasan rumah sebelum anak saya seorang lagi, Nur Safia Humaira beritahu Yusuf hanyut dibawa arus,” katanya.

Sementara itu, Nur Safia Humaira, 13, berkata, dia cuba menolong adiknya ketika mereka bersama-sama mandi bersama saudara-mara yang lain tetapi tidak berani kerana air di situ terlalu dalam untuk mereka.

“Saya memanggil emak yang ketika itu berada di tepi sungai bersama adik-adik yang lain, tetapi emak tak dengar. Saya juga lihat adik berusaha be­renang ke tempat cetek tetapi tiba-tiba dia hilang terus di dalam air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya