HULU TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menyasarkan jualan sebanyak RM250,000 sempena Program Jualan Khas Syawal Madani di negeri ini bermula Sabtu lalu hingga 21 April ini.
Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, program jualan itu melibatkan lima lokasi terpilih iaitu Pasar Tani Kuala Berang, Padang Hiliran, Chukai, Pasar Tani Kekal (PTK) Chendering dan PTK Chukai.
Menurutnya, seramai 10,000 orang dijangka mengunjungi lima lokasi tersebut dalam tempoh berkenaan.
“Program jualan khas ini bagi membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup. Pengguna dapat membeli barangan dengan harga lebih rendah sekali gus jimatkan perbelanjaan.
“Jumlah pembekalan komoditi segar dibekalkan seperti daging, ayam, ikan, sayur dan buah ialah kira-kira 15,850 kilogram. Fama jamin bekalan mencukupi bagi menampung permintaan sempena hari raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Khas Syawal Madani di Pasar Tani dan Pasar Tani Kekal Negeri Terengganu di Pasar Tani Kuala Berang, di sini hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Lukema Meri Salleh@Abdul Latif.
Nukman menambah, bekalan telur telah ditingkatkan sehingga 5,000 biji seminggu pada Ramadan ini berbanding sekitar 2,000 hingga 3,000 biji seminggu bermula bulan Disember lalu.
“Tindakan tersebut diambil untuk memenuhi permintaan telur yang meningkat di pasaran menjelang Aidilfitri.
Selain itu, katanya, pengunjung di Pasar Tani Kuala Berang juga berpeluang membeli daging lembu tempatan dijual dengan harga RM32 sekilogram berbanding RM36 sekilogram manakala telur gred C pada harga RM12.30 sepapam. – UTUSAN










