Emma Maembong mungkin bersalin lebih awal - Utusan Malaysia

Emma Maembong mungkin bersalin lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYAWAL kali ini lebih istimewa buat pelakon Emma Maembong, 31, yang bersedia menyambut cahaya mata kedua hasil perkongsian hidup dengan suami, Muhammad Shazli Azhar.

Emma yang ditemui pemberita baru-baru ini, kelihatan teruja tatkala berkongsi status kandungan selain cerita persediaan akhir sebelum melahirkan anak.

Ujar pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa teruja dan bahagianya dia serta suami yang pada saat-saat begini, menantikan kemunculan ahli keluarga baharu.

“Doktor beritahu saya akan bersalin pada 6 Mei depan. Tetapi, dia menasihatkan agar bersedia untuk berdepan kemungkinan bersalin awal.

“Pemeriksaan sebelum ini mendapati bayi sudah dalam kedudukan yang menandakan bila-bila masa sahaja dia akan dilahirkan. Jadi saya dan suami bersedia sahaja,” katanya.

Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada Februari 2020. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Shariq Gabriel.

Dalam pada itu, pelakon filem Frontliner ini juga memaklumkan dia sudah merasakan tanda-tanda yang menunjukkan bayi dalam kandungannya sudah sedia untuk dilahirkan.

Katanya, kini, dia dan suami sudah mengambil langkah perlu bagi menghadapi hari penuh bermakna yang akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

“Memang saya aktif ke sana sini untuk memenuhi jemputan ke majlis dan acara rasmi serta menghabiskan kerja lakonan.

“Dan saya rasakan perubahan pada tubuh, sering keletihan meskipun selera makan semakin bertambah.

“Sekarang saya sudah mula memperlahankan aktiviti untuk bersedia sekiranya ditakdirkan bersalin lebih awal,” jelasnya.

ELAK PEMBAZIRAN

Emma akui kehamilan pertama mengajar dirinya untuk tidak membazir. Katanya, kini, dia lebih berpada-pada dan hanya membeli keperluan diri dan bayi selepas bersalin.

“Saya dan suami memang merancang untuk menimang cahaya mata dalam tempoh berdekatan dengan anak pertama kami agar barang dan perkakasan bayi yang sedia ada dapat dipakai semula. Tak perlu beli yang baharu.

“Cuma selepas bersalin nanti saya hanya perlu berbelanja untuk keperluan diri dan bayi. Itu sahaja.

“Saya belajar daripada kesilapan. Ketika mengandungkan Shariq dahulu saya banyak membeli benda yang tak perlu. Sekarang saya tak mahu membazir, pakai sahaja apa yang ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, Emma juga bersyukur kerana ramai yang memberi barangan keperluan ibu dan anak sebagai hadiah untuk menyambut kelahiran kedua.

“Alhamdulillah, inilah yang dinamakan rezeki anak. Saya bersyukur sangat.

“Benar apa yang saya katakan pada suami, sebaik sahaja jantina bayi diumumkan, pasti ramai yang hadiahkan barangan bayi. Saya bersyukur dan berterima kasih,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN