Dua tahanan lolos dipenjara lapan bulan

Dua tahanan lolos dipenjara lapan bulan

DUA tahanan, Riki Rinaldi (dua dari kiri) dan Haji Samirudin yang melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Penjara Ledang pada 11 April lalu dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Dua tahanan yang mela­rikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Ledang pada 11 April lalu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Tertuduh, Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40, dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/1963, iaitu de­ngan sengaja melarikan diri da­ripada jagaan Agensi Penguat­kuasaan Maritim Malaysia di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, Kulai pada pukul 10.50 pagi, 11 April lalu.

Kedua-duanya didakwa di ba­wah Seksyen 224 Kanun Kesek­saan yang memperuntukkan hu­kuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan ibu bapa yang sudah uzur dan anak kecil di kampung halaman di Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong bagaimanapun memohon mahkamah membe­rikan hukuman setimpal atas kesalahan kerana telah membazirkan wang kerajaan dalam usaha mencari selain menyusahkan banyak pihak.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara bermula dari tarikh tangkapan. Terdahulu, mereka telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana mema­suki negara ini tanpa dokumen sah.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian itu, seramai tiga orang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah ditugaskan membawa empat warganegara Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan.

Semasa dalam perjalanan, dua suspek, iaitu Haji Samirudin dan Riki Rinaldi berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van sebelum bertindak melarikan diri masuk ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang.

Namun, kedua-dua suspek berjaya ditangkap semula dalam tempoh 24 jam kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian de­ngan kedua-dua tahanan telah menukar baju lokap yang dipakai dengan t-shirt dan jeans dipercayai dicuri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN