MELAKA: Hajat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh melakar sejarah sebagai negeri sifar pembangkang tidak kesampaian apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perikatan Nasional (PN) menolak menyertai Kerajaan Perpaduan yang ditawarkan kepada mereka.
Sebaliknya, ADUN Bemban yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, beliau dan Dr. Mohd. Aleef Yusof (Sungai Udang) terus kekal di blok pembangkang.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang negeri berkata, sebuah kerajaan yang akan dilihat stabil perlu ada pembangkang bukan sahaja di Pusat tetapi juga di negeri-negeri.
“Saya dan ADUN Sungai Udang kekal di blok pembangkang dan bukan soal bagaimana kami nak melawan blok kerajaan yang jumlahnya sangat besar.
“Janganlah takut kepada kami pembangkang yang hanya berdua ini kerana kami kekal dengan prinsip menjadi pembangkang yang berwibawa untuk semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri Melaka yang kini dipimpin Ab. Rauf.
“Kami akan mendengar suara hati dan membawa denyut nadi rakyat ini untuk kami perjuangkan,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya semalam, Ab. Rauf menyuarakan hasrat mempelawa dua ADUN PN itu untuk menyertai kerajaan negeri perpaduan Melaka sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Julai ini.
Sementara itu, Mohd. Yadzil berkata, keputusan mewujudkan 10 jawatan timbalan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam satu kerajaan yang kecil adalah satu pembaziran. – UTUSAN