KUALA LUMPUR: Tiga Rang Undang-Undang (RUU) di bawah Kementerian Kewangan (MOF) diluluskan di Dewan Negara hari ini, berkaitan perbelanjaan tambahan kerajaan, penambahbaikan pentadbiran cukai serta levi keuntungan luar biasa.
Ia melibatkan RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023, RUU Kewangan 2023 dan RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023 berkata, anggaran menguruskan perbelanjaan tambahan pertama 2022 berjumlah RM60.17 bilion daripada Kumpulan Wang Disatukan adalah untuk membiayai perbelanjaan bekalan.
“Peruntukan tambahan perbelanjaan mengurus pertama 2022 dibentangkan bagi memperoleh kelulusan terhadap perbelanjaan yang tidak diperuntukkan atau yang tidak diperuntukkan dengan sepenuhnya dalam Belanjawan 2022 yang lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, RUU Kewangan 2023 adalah untuk meminda Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 dan Akta Kewangan 2018.
“Ia juga bertujuan bagi melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan kepada akta-akta berkaitan,” jelasnya.
Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Kewangan 2023 dan RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 pada 3 April lalu.
Sim menjelaskan kerajaan akan meneruskan langkah sedia ada dengan mengutip levi keuntungan luar biasa bagi menjana hasil tambahan yang boleh digunakan untuk membiayai program pembangunan negara.
“Bagi tujuan tersebut, Perintah Levi Keuntungan Luar Biasa (Buah Kelapa Sawit) telah diwartakan pada 31 Januari lalu bagi mengenakan dan mengutip levi ke atas pengeluaran buah kelapa sawit berkuat kuasa 1 Februari lalu,” katanya. – UTUSAN