KUALA LUMPUR: Gara-gara menderita penyakit Gastroesophageal reflux (GERD) yang kronik, pengarah, Michael Ang terpaksa akur dengan saranan doktor yang menasihatkannya agar tidak berpuasa bagi mengelakkan penyakit tersebut menjadi lebih teruk.
“Saya masih makan ubat untuk redakan masalah ini, cuma ia hanya bertahan selama lapan jam sahaja.
“Ada hari keberkesanan ubat yang diambil lebih lama, membolehkan saya sempurnakan puasa. Namun, ada harinya sekejap, mengakibatkan saya mengalami pedih luluh hati kerana tidak makan.
“Doktor sarankan saya tidak berpuasa bagi mengelakkan keadaan menjadi teruk. Jadi, kalau saya mampu bertahan, saya akan habiskan puasa. Kalau tak, saya batalkan (puasa) dan isi perut bagi elakkan serangan menjadi lebih serius,” katanya.
Pengarah drama Suri Hari Mr. Pilot itu memaklumkan telah menderita penyakit tersebut dua tahun, bermula selepas dia menjalani pembedahan bariatrik.
“Tak semua yang menjalani pembedahan tersebut akan diserang GERD. Ada yang kena, tapi tak teruk. Saya pula berlainan, memang kronik sehingga perlu ambil ubat.
“Doktor kata penyakit ini boleh dirawat dengan pembedahan, tetapi saya belum ada masa untuk itu kerana sibuk dengan kerja di set penggambaran. Jadi saya masih kena bergantung dengan ubat dan tak boleh biarkan perut kosong,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Michael meluahkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang untuk berpuasa seperti umat Islam yang lain gara-gara penyakit tersebut.
“Sebenarnya puasa bagi saya tak ada masalah. Saya pun bukan jenis yang makan tengah hari. Cuma cabaran berpuasa pada saya adalah rasa dahaga.
“Tetapi disebabkan saya mengalami GERD, ada hari dalam bulan Ramadan yang terpaksa saya tinggalkan (puasa),” katanya lagi.










