TELUK INTAN: Pasangan suami isteri yang ditahan bersama 9.26 kilogram (kg) dadah jenis heroin di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Chikus, Langkap di sini semalam, ditahan reman enam hari bermula hari ini.
Perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek berusia 23 dan 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret T. Ashvinii di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini.
Ashvinii membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suami isteri itu selama enam hari sehingga Isnin ini.
Kedua-dua suspek yang baru melangsungkan perkahwinan kelmarin, diberkas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menerusi laporan media semalam, pasangan pengantin baharu itu ditahan melalui pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 12.30 tengah hari.
Ketika tangkapan dijalankan, kedua-dua suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk jual beli dadah.
Pemeriksaan di dalam kereta dinaiki pasangan tersebut menjumpai beg pakaian mengandungi 20 bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 9.268kg dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM77,000. – UTUSAN