KUALA LUMPUR: Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown gagal kali kedua untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu ditentukan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui surat bertarikh 27 Mac lalu menolak representasi yang dikemukakan oleh Clare.
Surat tersebut yang dialamatkan kepada Tetuan Guok Partnership yang mewakili Clare, diperolehi oleh pihak media hari ini.
Surat itu antara lain menyatakan, AGC memutuskan terdapat keterangan yang mencukupi untuk mengekalkan pertuduhan terhadap Clare.
“Representasi ditolak dan pertuduhan terhadap anak guam dikekalkan. Keputusan adalah muktamad,” demikian menurut surat berkenaan ketika merujuk kepada representasi bertarikh 8 Mac lalu yang dikemukakan oleh Clare.
Menurut surat itu, sebarang representasi lanjut daripada pihak tertuduh tidak akan dilayan melainkan jika terdapat perkembangan baharu atau keadaan yang masih belum dipertimbang yang mewajarkan kajian semula dilakukan.
Pada 2 Februari lalu, media melaporkan, Clare gagal kali pertama untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Nur Zahirah selepas representasi bertarikh 13 Disember 2022 ditolak oleh agensi itu.
Perkara tersebut dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Clare pada sesi pengurusan kes.
Representasi untuk membatalkan pertuduhan itu dikemukakan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2022 yang menolak saman RM300 juta dikemukakan oleh Sultanah Terengganu terhadap Clare.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee ketika itu memutuskan Clare dan dua lagi tidak memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.
Selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.
Pada 23 September 2021, Clare yang berasal dari United Kingdom itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara in-absentia (tanpa kehadiran tertuduh) atas pertuduhan itu.
Clare didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Pengarang Sarawak Report itu kemudian memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini kerana mendakwa dirinya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.
Ini kerana pengadu dalam kes jenayah terhadap dirinya adalah Sultanah Terengganu sendiri yang memfailkan saman terhadapnya.
Bagaimanapun, pada 12 Ogos 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Clare untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan yang dihadapinya.
Beliau membuat keputusan tersebut selepas mendapati, pertuduhan jenayah terhadap Clare ‘masih dalam transit’ dan kes perlu dipindahkan secara rasmi sebelum permohonan itu diputuskan.
“Permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan dibuat mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.
“Ini hanya boleh dilakukan selepas kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (daripada Mahkamah Majistret). Selepas kes dipindahkan, barulah Hakim Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya sama ada untuk merujuk persoalan ke Mahkamah Persekutuan.
“Adalah janggal untuk Mahkamah Tinggi berbuat demikian sedangkan kes belum berada dalam bidang kuasanya,” kata Hakim Mohamed Zaini.
Hakim Mohamed Zaini ketika itu turut menyatakan, kes jenayah membabitkan Clare masih berada di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan tertuduh masih belum didakwa secara bersemuka. – UTUSAN