Bersatu tawar KJ bertanding PRN

Bersatu masih tunggu jawapan Khairy

blackrock
KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menunggu keputusan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk menyertai parti itu dan seterusnya diletak sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tawaran tersebut dibuat oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Khairy.

Menurut beliau, bekas Menteri Kesihatan tersebut ada berkunjung ke rumah Muhyiddin selepas dipecat daripada UMNO untuk membincangkan masa depannya dalam dunia politik tanah air.

“Dalam pertemuan itu, Tan Sri Muhyiddin menawarkan kepada Khairy untuk bertanding atas tiket Bersatu dalam PRN jika beliau masih berminat dalam politik.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat ditetapkan antaranya beliau perlu menghantar borang sebagai ahli Bersatu terlebih dahulu dan kerusi yang ditandinginya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu, Khairy belum memberikan sebarang keputusan berhubung tawaran tersebut sehingga kini.

“Beliau meminta sedikit masa untuk membuat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, Razali berkata, beliau sendiri secara peribadi mengalu-alukan dan terbuka menerima Khairy menjadi sebahagian daripada ahli Bersatu berdasarkan reputasi bekas Ketua Pemuda UMNO tersebut dalam politik tanah air.

“Bagaimanapun, KJ perlu akur dengan keputusan parti untuk meletakkan beliau di mana, sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan,” katanya.

Pada Januari lalu, Khairy dan beberapa pemimpin UMNO termasuk bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat keahlian daripada parti tersebut pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy kemudian mengejutkan banyak pihak apabila tampil sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio tempatan.

Sementara itu, Razali berkata, Bersatu juga sedia membuka ‘pintu’ parti kepada mana-mana bekas pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan jika individu tersebut boleh memantapkan lagi parti tersebut.

“Seperti kita sedia maklum, ramai pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan dipecat keahlian daripada parti berkenaan. Jika mereka mampu memantapkan lagi Bersatu tiada salahnya untuk mereka sertai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN