Bekalan air di Manjung, Perak Tengah mula pulih - Utusan Malaysia

Bekalan air di Manjung, Perak Tengah mula pulih

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (depan, tengah) melawat kerja pembaikan paip air di LRA Teluk Kepayang, Bota dekat Parit. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Bekalan air ke daerah Manjung dan Perak Tengah yang terjejas sejak empat hari lalu melibatkan hampir 80,000 akaun premis, dijangka pulih lebih 50 peratus hari ini.

Ia kerana sehingga pagi semalam, kerja-kerja pembaikan paip air yang terputus akibat pergerakan tanah tebing Su­ngai Perak di Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota sudah siap kira-kira 95 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, bekalan air ke dua daerah itu akan pulih sepenuhnya sebelum Sabtu ini.

“Jangkaan kita sebelum ini dalam situasi buruk, bekalan air dijangka pulih pada 8 April tetapi bila lihat perkembangan kerja-kerja pembaikan sekarang, dijangka bekalan pulih sepenuhnya lebih awal. Kebarangkalian besar bekalan pulih lebih 50 peratus esok (hari ini).

“Sehingga hari ini (semalam), lebih kurang 30 peratus bekalan sudah disalurkan kerana kerja-kerja dilakukan 24 jam bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke tempat yang perlu diberi keutamaan seperti di Hospital Seri Manjung (HSM) dan tempat tertentu, dan mulai semalam ia sudah berjaya disalurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di LRA Teluk Kepayang di sini semalam yang turut dihadiri Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abd. Rahman.

Menurut Mohammad Nizar, penghantaran air melalui lori tangki LAP serta operator air dari tujuh negeri selain 48 unit tangki statik disediakan LAP, akan terus dilakukan ke kawasan yang masih terjejas.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada operator air negeri-negeri tersebut serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang menyela­raskan sumbangan itu kepada penduduk terjejas.

Menurut beliau, LAP akan mengenal pasti sekolah yang masih terjejas dan akan dibuka semula hari ini selepas mengambil cuti kecemasan semalam, untuk penghantaran lori tangki ke premis sekolah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya