Beberapa pelabur berminat tangani isu NRW di Perlis - Utusan Malaysia

Beberapa pelabur berminat tangani isu NRW di Perlis

IZIZAM Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sewaktu majlis berbuka puasa bersama anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Isu kadar air tak berhasil (NRW) di Perlis dijangka dapat ditangani selepas beberapa pelabur berpotensi menyatakan minat bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Buat masa ini, beberapa siri perjumpaan telah diadakan bersama pelabur terlibat dan perkara itu akan dimuktamadkan selepas perbincangan menyeluruh selesai dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, nilai pelaburan membabitkan penyelesaian isu NRW itu dijangka mencecah jumlah ratusan juta ringgit bagi membolehkan permasalahan tersebut ditangani.

“Kebanyakan pelabur telah lama menyatakan minat untuk terlibat dalam membantu menyelesaikan isu NRW ini dan kita juga terbuka memandangkan kerajaan negeri juga memerlukan bantuan daripada pihak luar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, negeri ini dianggarkan kehilangan antara 65 hingga 70 peratus bekalan air bersih setiap hari berikutan isu NRW yang perlu diberikan perhatian serius.

Keadaan tersebut berpunca daripada beberapa isu yang masih belum dapat ditangani antaranya melibatkan aspek kebocoran paip air, kecurian bekalan air dan faktor kehilangan komersial.

Dalam pada itu, Izizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi berkata, sekiranya permasalahan itu tidak diatasi segera, isu NRW di negeri ini dijangka boleh mencecah tahap 80 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Permasalahan ini semakin meruncing memandangkan hampir keseluruhan paip-paip di seluruh negeri ini telah uzur dan perlu diganti segera bagi menggelakkan kadar NRW semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan air di negeri ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Izizam berkata, Syarikat Air Perlis (SAP) akan melakukan seliaan dan bersiap sedia bagi memastikan tiada sebarang gangguan berlaku sewaktu perayaan itu.

Tambahnya, pihaknya juga secara peribadi akan turut memantau permasalahan tersebut sewaktu musim perayaan ini khususnya di kawasan-kawasan yang kerap terjejas.

“Sekiranya berlaku masalah gangguan, kita akan menggerakkan lori-lori tangki bagi menyalurkan bekalan air kepada penduduk terjejas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.