JERANTUT: Seorang kanak-kanak di Felda Kota Gelanggi 4, Mohd. Adam Mat Noh yang berusia empat tahun tidak seperti insan lain yang seusia dengannya apabila menderita sebahagian usus perut keluar dan cuma dibantu pemakaian beg stoma untuk membuang najis.
Akibat penderitaan dan kesakitan dialaminya, Mohd. Adam hanya berdiam diri, malu dan tidak berminat bersosial.
Anak bongsu daripada dua beradik itu kini dijaga bapanya, Mat Noh Mohamad, 54, seorang duda berstatus orang kurang upaya (OKU) yang mengalami tulang paha pendek.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mat Noh berkata, anaknya dikesan mengalami kerosakan di bahagian usus perut sejak dilahirkan apabila anggota dalaman itu pendek dan tersumbat.
“Kerosakan ususnya semakin ketara apabila berusia dua tahun apabila dia makan langsung tidak dapat membuang najis melalui dubur.
“Bermula daripada masalah itu, anak saya menjalani pembedahan usus kali pertama di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dua tahun lalu bagi membolehkan dia membuang najis,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, selepas pembedahan, keadaan usus Mohd. Adam masih tidak berfungsi dengan baik dan menjalani sekali lagi pembedahan tahun lalu sehingga sebahagian ususnya dibiarkan keluar dengan pemakaian beg stoma.
Katanya, pembuangan air besar anaknya kini melalui beg stoma dan kerap tidak selesa serta sakit apabila bergesel dengan pakaian malah langsung tidak mampu berlari serta bermain seperti kanak-kanak lain.
Beliau berkata, ketika anaknya menjalani pembedahan sebelum ini dan tinggal di wad selama lapan bulan, dia sudah berbelanja RM4,000 untuk berulang-alik, penginapan dan makanan.
Katanya, sebelum berpisah dengan isterinya, dia hanya bekerja ringan sebagai buruh kerana tidak mampu bekerja berat.
“Saya berhenti kerja selepas berpisah untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada Mohd. Adam.
“Walaupun menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai status pemegang kad OKU, tetapi masih tidak mencukupi,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh hubungi Mat Noh, 0179305176 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 06004-41-00010494-6. – UTUSAN










