KUALA LUMPUR: Mungkin ada yang mulai resah apabila menghidapi penyakit kronik sehingga boleh mengakibatkan kehilangan sebahagian daripada organ badan, seperti penyakit kanser payu dara, kencing manis, diabetes, slip disc, strok dan sebagainya.
Ini kerana penyakit-penyakit berkenaan diketahui umum hanya mempunyai rawatan khusus di hospital, disusuli dengan ubat-ubatan yang dibekalkan kepada pesakit.
Selain daripada kaedah rawatan di hospital, terdapat satu lagi cara yang boleh digunakan untuk mengubat penyakit kronik ini iaitu kaedah Apitherapy yang dilihat semakin komersial sejak kebelakangan ini.
Menurut pengamal apitherapy, Rosli khalid, beliau telah mengamalkan rawatan ini lebih 15 tahun dengan menggunakan lebah jenis Apis melifera di mana sengatannya sangat sesuai untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.

“Dalam kajian yang dibuat, ternyata sengat lebah sebenarnya memberi kesan positif dan manfaat kepada pesakit yang hadir. Kajian ini telah dibuat di peringkat antarabangsa, di mana terdapat pesakit luar negara yang turut mengamalkan kaedah rawatan apitherapy berbanding kaedah yang digunakan di hospital.
“Antara pesakit yang hadir antaranya mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, pelbagai kanser termasuk payudara, gatal di seluruh badan, ia boleh dirawat dengan sengatan lebah sahaja, ia akan kembali pulih,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menariknya, kaedah Aphiteraphy tidak serumit seperti perubatan moden di hospital yang memerlukan pembedahan, sebaliknya rawatan alternatif ini lebih tertumpu kepada sistem imunisasi badan.
Menurut Rosli, pesakit berkenaan akan merasai sendiri perubahan paling pantas seawal lima minit bergantung kepada jenis penyakit yang dialaminya.
“Contohnya, sebelum ini orang yang solat duduk selama 15 tahun lamanya, datang menggunakan kaedah rawatan ini, selepas disengat lebah yang ada, akhirnya pesakit itu boleh solat secara normal dan tidak lagi gunakan kerusi. Kita boleh lihat perbezaannya secara terus pada ketika itu juga.
“Ini kerana cara yang kita gunakan adalah, kita tidak tumpu kepada penyakit, tetapi kita tumpu rawat sistem, jadi penyakit-penyakit kronik ini secara tidak langsung akan pulih,” katanya.
Secara dasarnya, bisa lebah antara lain mengandungi enzim, protien, peptide dan asid amino digunakan dalam rawatan Aphiterapy mampu menjadi penawar bukan sahaja penyakit kencing manis, bahkan banyak lagi penyakit lain.
“Kalau dianalisa bisa lebah, 88 peratus yang kita suntik itu adalah air, 12 peratus lagi ada enzim, protein, peptide, amino asid dan sebagainya, ini semua penawar.
“Sebab itu pelbagai masalah boleh diselesaikan. Malah rawatan sengat lebah ini tidak membatalkan puasa, jadi tak perlu risau untuk membuat rawatan walaupun di bulan puasa,” katanya.
Menurut Rosli lagi, cara rawatan yang digunakan adalah dengan meletakkan sengat lebah di bahagian anggota badan yang sakit, kemudian membiarkan ia selama beberapa minit sebelum bisa serangga itu menyerap ke saluran darah.
“Sengatan itu akan dibuat di tempat yang hampir dengan sakit yang dialami, kemudian lebah tersebut akan mati dalam masa 20 ke 30 minit kerana seekor lebah hanya akan digunakan oleh seorang pesakit sahaja. Jumlah lebah yang akan digunakan pesakit pula bergantung kepada penyakit seseorang itu sendiri.
“Sebagai contoh, bagi mereka yang mengalami sinus, lebah akan diletakkan sebanyak dua ekor di kiri dan kanan untuk disengat, dan pesakit akan rasai perbezaan selepas beberapa minit kemudian. Ini kerana apabila bisa lebah mula masuk ke dalam badan, ia akan merangsang tindak balas penyembuhan secara semula jadi,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, kaedah ini turut digunakan beberapa orang ternama termasuk ahli politik, pakar kesihatan, malah juga pesakit daripada luar negara.
Menurut Rosli lagi, bukan itu sahaja, kaedah rawatan ini juga sesuai untuk mereka yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat, bisa lebah ini mampu mengubah nasib mereka dengan memperbetulkan sistem imunisasi badan. – UTUSAN










