PETALING JAYA: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Global Human Rights Federation (GHRF) mewakili pencarum KWSP seluruh Malaysia membantah sekeras-kerasnya cadangan kerajaan untuk mencagarkan wang caruman KWSP kepada pihak bank.
Presiden GHRF, Shashi Kumar Shanmugam berkata, cadangan kerajaan secara langsung akan lebih menambahkan lagi beban yang ditanggung pencarum KWSP jika ia dilaksanakan.
Malah katanya, ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.
“Pencarum KWSP yang sedang terdesak dan dalam kesusahan memerlukan wang tunai segera bagi menyelesaikan kesulitan yang dihadapi.
“Cadangan cagaran ini tidak seharusnya dilaksanakan kerana ini adalah wang hasil titik peluh pencarum dan boleh diberikan secara terus kepada pencarum tanpa melibatkan apa-apa skim pinjaman bank,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan memorandum dan petisyen bantahan wang KWSP dicagarkan kepada pihak bank serta tuntutan pengeluaran wang KWSP diluluskan secara bersasar di lobi KWSP, Kwasa Damansara, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memperkenal kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pembiayaan kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Mengulas lanjut, Shashi melontarkan persoalan, adakah penyelesaian yang dicadangkan itu merupakan cadangan ikhlas untuk membantu pencarum yang dalam kesusahan atau semata-mata untuk memberi kesempatan kepada pihak bank mengaut keuntungan daripada kesusahan pencarum?
“Sekiranya dilaksanakan, pinjaman tersebut pastinya akan dikenakan faedah dan caj pengurusan terhadap peminjam.
“Sebelum ini Perdana Menteri sering memberi alasan untuk menolak pengeluaran KWSP secara bersasar atas sebab ia merisikokan wang persaraan mereka, tetapi apakah jaminan cadangan pinjaman bercagar ini tidak menjejaskan wang persaraan tersebut?
“Malah lebih teruk lagi ia bakal membuatkan pencarum disenarai hitam sekiranya gagal menyelesaikan pinjaman tersebut.
“Kami mewakili pencarum KWSP seluruh Malaysia konsisten menolak cadangan kerajaan untuk mencagarkan simpanan KWSP pencarum kepada pihak bank,” katanya. – UTUSAN