PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi penyanyi Rohana Jalil yang sedang menjalani rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras pada minggu lalu.
Menerusi catatan Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, Rohana sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat kebocoran usus dan tahap kesihatan penyanyi lagu ‘Rayuanku’ itu masih dipantau pasukan perubatan.
Rohana atau nama sebenarnya Dara Abd Jalil, 68, dimasukkan ke hospital itu pada 18 April lalu dan menjalani pembedahan pada keesokannya bagi merawat kebocoran pada usus.
Anak penyanyi itu, Kilafairy berkata, ibunya dimasukkan ke ICU selepas ususnya mengalami kebocoran akibat gastrik.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga melawat rakan lamanya ketika di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Adzis Ismail yang sedang menjalani dialisis akibat masalah kesihatan.
“Saya mendoakan kedua-dua mereka dikurniakan aafiyah, Insya Allah,” katanya. – UTUSAN