PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan syukur kerana 30 rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan telah selamat tiba di tanah air semalam dari Khartoum, Sudan ketika negara itu dilanda konflik.
Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia khususnya pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan yang diketuai Duta Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil atas usaha dan kejayaan membawa pulang rakyat dengan segera demi keselamatan mereka.
“Seri Paduka Baginda merakamkan setinggi penghargaan kepada pemimpin dan Kerajaan Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan yang diberikan dalam operasi berkenaan.
“Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan masjid-masjid yang melakukan solat hajat dan doa selamat bagi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu,” menurut hantaran Istana Negara menerusi akaun Facebook.
Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan seramai 30 rakyat Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Sudan dan selamat tiba di tanah air petang semalam.
Rakyat Malaysia termasuk pelajar di Sudan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.54 petang.
Sebelum itu, mereka terlebih dahulu menempuh perjalanan darat yang sukar, sejauh 1,233 kilometer selama 30 jam, dari Khartoum untuk tiba di Pelabuhan Sudan. – UTUSAN