MELAKA: Hajat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh melakar sejarah sebagai negeri sifar pembangkang tidak kesampaian apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menolak menyertai Kerajaan Perpaduan yang ditawarkan kepada mereka.
Sebaliknya, ADUN Bemban yang juga Pengerusi PN Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, beliau dan Dr. Mohd. Aleef Yusof (Sungai Udang) terus kekal di blok pembangkang.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang negeri berkata, sebuah kerajaan yang akan dilihat stabil perlu ada pembangkang bukan sahaja di Pusat tetapi juga di negeri-negeri.
“Saya dan ADUN Sungai Udang kekal di blok pembangkang dan bukan soal bagaimana kami nak melawan blok kerajaan yang jumlahnya sangat besar.
“Janganlah takut kepada kami pembangkang yang hanya berdua ini kerana kami kekal prinsip menjadi pembangkang yang berwibawa untuk semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri Melaka yang kini dipimpin Ab. Rauf.
“Kami akan mendengar suara hati dan membawa denyut nadi rakyat ini untuk kami perjuangkan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya kelmarin, Ab. Rauf menyuarakan hasrat mempelawa dua ADUN PN itu menyertai Kerajaan Perpaduan sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Julai ini.
Sementara itu, Mohd. Yadzil berkata, keputusan mewujudkan 10 jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam satu kerajaan yang kecil adalah pembaziran.
Menurutnya, peruntukan kepada dua ADUN pembangkang jauh lebih adil kepada rakyat daripada pelantikan Timbalan Exco dan Exco sebagai negeri yang kecil.
“Kerajaan negeri sejak dari awal tidak mampu menyediakan peruntukan kepada dua ADUN pembangkang tetapi melantik Timbalan Exco menjadikan 21 daripada 28 ADUN serta mustahil ia tidak melibatkan tambahan belanja yang besar.
“Setiap Timbalan Exco akan memiliki kenderaan rasmi dan pemandu. Ini memerlukan tambahan perbelanjaan yang sepatutnya disalurkan semula kepada rakyat,” tegasnya.
Menurutnya, keputusan yang diambil oleh Ab. Rauf itu menggambarkan kerajaan negeri lebih mengutamakan keselesaan kepada ADUN dalam blok kerajaan berbanding membawa agenda rakyat.
Jelasnya, persoalan besar sekarang apakah kerajaan negeri akan lebih efisien dan apakah kerajaan mampu menjana hasil berlipat kali ganda daripada barisan Exco dan timbalan yang ramai?
“Apakah Ketua Menteri terpaksa melantik barisan Exco yang besar ini kerana gabungan kerajaan di Melaka tidak stabil?” Soalnya. – UTUSAN