Ada pihak ketakutan didakwa punca Sanusi diserang

Ada pihak ketakutan didakwa punca Sanusi diserang

MUHAMMAD SANUSI MOHD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Serangan bertubi-tubi terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kebelakangan ini didakwa berpunca daripada ketakutan ‘abang long’ di belakang Perdana Menteri, terhadap dua perkara yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Wan Romani Wan Salin berkata, dua perkara yang amat ditakuti itu adalah pelaksanaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan tuntutan caj air mentah oleh Kedah terhadap Pulau Pinang.

“Inilah yang ditakuti musuh politik kita. Mereka sering serang kerajaan negeri kerana nak buruk-burukkan serta mahu bawa naratif tidak baik kepada Menteri Besar. Sebab itu mereka serang bersungguh-sungguh sampaikan bila menteri turun ke Kedah, langsung tak jemput Exco mahupun wakil kerajaan secara rasmi. 

“Mereka nak tunjuk bahawa negeri lain tak ada masalah kecuali Kedah. Mereka serang dengan pelbagai peluru dari atas, bawah, depan dan belakang. Tetapi visi kerajaan negeri akan tetap diteruskan untuk melaksanakan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang diterajui Menteri Besar,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media, Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Anak-Anak Yatim di Dewan Seri Mentaloon di sini, semalam.

Wan Romani berkata, serangan terhadap Muhammad Sanusi juga dibuat berikutan ketakutan musuh terhadap jawatan dipegang Muhammad Sanusi dalam arena politik tanah air iaitu sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas.

“Muhammad Sanusi ini ibaratnya seperti komander, jadi musuh terpaksa serang habis-habisan. Itu menunjukkan yang Muhammad Sanusi ini kuat tetapi mengikut lumrah spring, makin ditekan makin tinggi melompat.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah keadaan sebegini di mana menteri hadir ke negeri-negeri, tetapi tak libatkan wakil kerajaan negeri. Kali ini dengarnya sambutan Hari Raya Aidilfitri pun nak buat di Kedah, tak tahulah apa keadaannya nanti,” katanya.

Sementara itu, Dewan Muslimat Pas Negeri Kedah (DMPNK) mendakwa berlaku pencabulan terhadap semangat federalisme oleh Kerajaan Persekutuan yang gagal bersikap profesional dalam hubungan melibatkan kerajaan negeri.

Ketuanya, Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, pihaknya bagaimanapun tetap menyokong dan berbangga dengan kepimpinan Muhammad Sanusi yang cemerlang serta tidak tunduk kepada pencabulan semangat federalisme.

“Menteri Besar mempunyai asas yang jelas untuk bertegas pertahankan hak-hak negeri termasuk projek yang bakal memajukan Kedah, sekali gus membuka ruang pekerjaan kepada anak-anak negeri. Malangnya hak negeri ini diremehkan dengan alasan-alasan tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DMPNK yakin rakyat akan menilai perkara tersebut apabila tiba masanya nanti, lebih-lebih lagi setelah melihat sokongan rakyat yang memberi majoriti besar undi kepada Perikatan Nasional (PN) di Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya tidak henti-henti bermain politik. Luahan keresahan rakyat melimpahi media sosial demi mendapatkan perhatian dan tindakan kerajaan. Namun malangnya, bukan penyelesaian yang diberikan sebaliknya aksi politik di luar batas profesionalisme yang disajikan,” katanya.

Menurutnya, DMPNK akan terus menyokong teguh pentadbiran Menteri Besar dan yakin rakyat tidak akan membenarkan negara ini diatur secara sembrono dengan amalan menyimpang daripada prinsip tata kelola sepatutnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya