KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas sebanyak 8,511 baju dan seluar berjenama tiruan di empat buah premis pemborong di Jalan Kenanga di sini, Rabu lalu.
Risikan kira-kira dua minggu itu mendapati premis yang dimiliki warga asing itu disyaki menjadi pembekal utama kepada pemborong serta peruncit di sekitar ibu negara.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, jumlah sitaan bagi keempat-empat premis itu sekitar RM250,000 dan disyaki dipakai cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, kesemua pemborong ini malah turut menghantar bekalan kepada peniaga di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Premis ini dimiliki oleh individu tempatan tetapi peniaga sebenar adalah warga asing yang hanya menggunakan nama mereka bagi mendapatkan lesen, warga tempatan itu akan diberikan bayaran gaji pada setiap bulan.
“Perniagaan itu dipercayai beroperasi sejak dua tahun sering menukar modus operandi untuk elak dikesan. Kita turut menahan tiga pekerja warga asing bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Eksibit KPDN di Segambut, di sini hari ni.
Dalam pada itu, Ariffin memaklumkan kesemua bekalan pakaian ini diperolehi dari luar negara bertujuan dijual kepada orang ramai yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tambah Ariffin, hasil pemeriksaaan mendapati seluar dan baju berjenama yang diperolehi pada harga kos RM10 hingga RM50 seunit akan dijual pada harga borong RM20 hingga RM80 seunit.
“Manakala peniaga runcit akan menjual pada harga RM40 sehingga RM150 seunit bergantung kepada kualiti barangan.
“Kesemua pihak yang terlibat akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – UTUSAN