4 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan - Utusan Malaysia

4 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

EMPAT warga Myanmar termasuk tekong ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang di Pulau Kendi semalam selepas didapati mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa dokumen sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan empat warga Myanmar termasuk tekong selepas didapati mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa dokumen yang sah semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan tempatan kelas C bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Khas Pagar Laut 1/2023 kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 88.8 kilometer barat daya Pulau Kendi.

”Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan empat warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 33 hingga 38 tahun.

“Kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta disyaki telah melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sehubungan itu, ujar beliau, bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 300 kilogram hasil laut dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

”Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

”Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.