20 Peniaga bazar Ramadan ingkar peraturan diberi notis

20 Peniaga bazar Ramadan ingkar peraturan diberi notis

DR. Razan Ab. Samad (kanan) menyampaikan penghargaan kepada salah seorang peniaga amalan bersih di Bazar Ramadan Pantai Irama, Bachok, Kelantan, semalam, UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bachok mengeluarkan 20 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kepada pemilik premis dan pengendali makanan di daerah ini atas pelbagai kesalahan sepanjang urus niaga di bulan Ramadan tahun ini.

Pegawainya, Dr. Razan Ab. Samad berkata, notis kesalahan itu melibatkan tidak memiliki sijil kehadiran pengendalian makanan PKD, penjual tidak mendapatkan suntikan anti tifoid, tidak memakai kasut, apron, dan tidak tutup kepala semasa berniaga dan menguruskan makanan.

“Malah ada dalam kalangan pengendali makanan yang memakai jam tangan, cincin dan gelang ketika menguruskan makanan kepada pelanggan turut dikeluarkan notis.

“PKD Bachok sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di daerah ini bukan hanya berfokus kepada bulan puasa namun mencakapi pemeriksaan yang berterusan sepanjang tahun,” katanya ke pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Pantai Irama, di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Bahagian Pelesenan dan Kesihatan Awam, Majlis Daerah Bachok, Nor Azhar Yaacob.

Pada sesi itu, PKD Bachok turut menyampaikan 10 penghargaan kepada pengusaha gerai di bazar Ramadan yang berupaya menampilkan gerai bersih dan patut dicontohi. 

Razan memberitahu, PKD Bachok sentiasa komited dalam memastikan tahap kebersihan premis dan makanan yang dijual kepada pengguna selamat untuk dimakan.

Katanya, pelbagai usaha telah digerakan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dipertingkatkan menerui hebahan, pameran, taklimat, edaran risalah, gegantung dan sebagainya untuk kempen.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN