1,918 pembayar zakat harta sertai Skim Al-Hanan - Utusan Malaysia

1,918 pembayar zakat harta sertai Skim Al-Hanan

SHAIKH Harun Shaikh Ismail (berdiri, kanan) beramah mesra dengan golongan asnaf pada majlis berbuka puasa dengan pembayar zakat dan Maidam di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA TERENGGANU : Seramai 1,918 pembayar zakat harta di negeri ini menyertai Skim Al-Hanan sejak dilancarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada Disember tahun lalu.

Skim Al-Hanan itu merupakan skim khairat kematian yang ditawarkan kepada pembayar zakat harta di Maidam.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, setakat ini, empat waris pembayar zakat yang telah meninggal dunia telah mendapat manfaat daripada  skim tersebut yang diharap dapat meringankan beban kewangan mereka. 

“Bukan mudah apabila kehilangan ibu bapa yang menjadi tempat bergantung mencari sumber rezeki untuk keluarga selama ini. Skim ini sekurang-kurangnya dapat membantu waris pembayar zakat yang meninggal dunia.

“Skim ini juga bertujuan menggalakkan lagi golongan peniaga untuk membayar zakat perniagaan di Terengganu. 

“Maidam menyeru agar lebih ramai peniaga tampil untuk menyertai skim ini dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa menyantuni 60 asnaf yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan di sini, semalam.

Seramai 30 pembayar zakat hadir pada majlis tersebut dan menyerahkan sendiri sumbangan bakul makanan kepada asnaf yang hadir.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata kadar manfaat untuk pewaris skim al Hanan adalah sebanyak RM3,000 bagi jumlah bayaran zakat RM50 dan ke atas, iaitu RM2,000 diagihkan kepada waris yang menuntut, RM500 dimasukkan ke Tabung Wakaf Tunai Am atas nama si mati dan RM500 ke tabung Wakaf Tunai Perkuburan Am.

“Bagi bayaran zakat RM1,000 ke atas pula, kadar agihan ialah RM5,000 iaitu RM3,000 diagihkan kepada waris yang menuntut, RM1,000 untuk Tabung Wakaf Tunai Am dan RM1,000 untuk tabung Wakaf Tunai Perkuburan Am,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat 31 Mac lalu, Maidam telah merekodkan sebanyak RM33.41 juta kutipan zakat dan daripada jumlah itu, lebih RM5 juta ialah daripada zakat perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya