19 penginapan semetara untuk kakitangan SPRM terjejas runtuhan 

19 penginapan sementara untuk kakitangan SPRM terjejas runtuhan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 rumah sementara disediakan kepada kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam insiden tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), kelmarin.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamad berkata, kemudahan sementara itu disediakan bagi memastikan kakitangan MACA tidak terganggu dengan insiden itu.

Beliau berkata, setakat ini perancangan membaik pulih kemudahan yang terkesan dengan kejadian tanah runtuh  itu berkemungkinan mengambil masa sehingga dua minggu.

“Setelah berbincang termasuk bersama Timbalan Pesuruhjaya SPRM, kami membuat keputusan untuk memberikan kemudahan penginapan kepada kakitangan-kakitangan SPRM yang terbabit.

“Kita sediakan 19 buah rumah kepada mereka ini di kawasan-kawasan berdekatan tempat kerja mereka. Jadi isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini,” katanya selepas membuat lawatan di tapak runtuhan di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Datuk Zulkipli Nasri dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Idris Zaharudin.

Kelmarin, tanah runtuh dilapor berlaku berdekatan bangunan MACA milik SPRM di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, di sini .

Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu dikatakan berpunca takungan air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu serta paip bawah tanah yang pecah, turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.

Ketika kejadian, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang juga petugas pentadbiran MACA dan Institut Integriti Malaysia (IIM), yang terletak bersebelahan akademi itu. 

Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian runtuhan cerun di  bukan disebabkan faktor semulajadi sebaliknya berpunca akibat kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air, di kawasan itu.

Beliau berkata, kebocoran paip pada sistem paip mengakibatkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi seterusnya meningkatkan ‘lateral force’ kepada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile.

Zulkapli berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan membuka jalan alternatif bagi memudahkan urusan kakitangan MACA.

“Kita juga akan menyediakan fasiliti lain untuk memastikan kerja-kerja dan operasi MACA dan agensi lain yang terbabit berjalan seperti biasa,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN