KUALA SELANGOR: Pelbagai inisiatif diambil untuk memupuk dan menyuburkan budaya bergotong-royong sesama jiran tetangga yang dilihat semakin hari semakin hilang akibat kesibukan masing-masing dengan kerjaya.
Untuk itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman merencana aktiviti yang julung kali dilakukan iaitu projek Mega Bubur Lambuk 2023 bersama Majlis Pemuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini.
Program yang berlangsung mulai pukul 7 pagi Ahad lepas di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor itu mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri oleh kira-kira 800 peserta yang menyedia dan memasak 45 periuk bubur lambuk.
Penyertaan melibatkan 45 jawatankuasa penduduk (JKP) sekitar Saujana Utama yang kini dihuni oleh kira-kira 60,000 penduduk sejak ia dibuka pada tahun 2000.
Persiapan awal dilakukan sejak Sabtu iaitu memasang khemah dan juga penyerahan peralatan memasak iaitu tungku, gas memasak, periuk dan bahan-bahan untuk menyediakan bubur lambuk.
Program yang menelan belanja kira-kira RM120,000 itu bukan sahaja memeriahkan lagi suasana Ramadan tetapi ia juga mengeratkan silaturahim. Ia melalui agihan 17,000 pek bubur lambuk kepada penduduk sekitar Saujana Utama.

Timbalan Pengerusi MPP Saujana Utama, Wan Ismail Hashim berkata, kerja-kerja memasak yang bermula pukul 8 pagi berakhir sebelum 12 tengah hari dan edaran dilakukan bermula pukul 4 petang.
“Kerjasama yang ditunjukkan oleh para penduduk amat baik dan ini membolehkan kami merencana lain-lain program kemasyarakatan yang melibatkan semua lapisan kaum pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam majlis yang sama, Khairuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor menyampaikan sumbangan kepada wakil-wakil JKP, masjid dan surau.
Sebanyak 45 JKP masing-masing menerima sumbangan RM500, RM10,000 untuk MPP Saujana Utama, RM20,000 untuk Surau As-Sobirin dan masing-masing RM500 untuk masjid dan surau.
Antara lokasi edaran bubur lambuk adalah bazar Ramadan, Masjid An-Nur dan Masjid Saujana Utama, stesen minyak Petronas dan 10 surau berdekatan. – UTUSAN










