KUALA LUMPUR: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi bayangan akan bertanding bagi jawatan lebih tinggi dalam pemilihan parti itu pada masa akan datang.
Beliau membuat bayangan itu ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Armada Bersatu di Menara PGRM, di sini hari ini.
“Perhimpunan Agung Tahunan Armada (ini) adalah yang terakhir saya. Saya akan ‘graduate’ ke fasa seterusnya. I will be playing with the big boys.
“Jadi, saya akan wariskan Armada kepada perwakilan untuk teruskan pertempuran akan datang,” katanya.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahli Parlimen Machang berkenaan memberitahu pemilihan parti itu dijangka diadakan sebelum Perhimpunan Agung bagi tahun 2022, sekitar Oktober tahun ini.
“Sebabnya saya mengatakan ini perhimpunan terakhir saya sebagai ketua Armada adalah kerana usia saya tahun ini pun sudah 36 tahun, melebih had untuk menjadi seorang Armada,” ujarnya. – UTUSAN