UMNO tidak akan berjaya walau ada pemimpin baharu - Tun M

UMNO tidak akan berjaya walau ada barisan pemimpin baharu – Tun M

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan berjaya membawa hala tuju parti dan menarik sokongan Melayu meskipun Pemilihan UMNO 2023 menyaksikan barisan kepimpinan baharu bermula dari jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (MT). 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang diputuskan  tidak dipertanding menyebabkan barisan kepimpinan yang baharu tidak membawa sebarang perubahan. 

“Kita dapati mereka ini sama-sama pun tidak berjaya, mereka takut terlucut jawatan sebab itu dibuat keputusan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak boleh dicabar, ada pertandingan, mereka (Presiden dan Timbalan Presiden) kekal. 

“Ini menunjukkan bahawa mereka bukanlah orang popular dalam UMNO, tetapi dia guna kekerasan, undang-undang untuk menyelamatkan diri. 

“Macam sekarang ini pun tidak beri kita ada perjumpaan (Proklamasi Melayu) pasal mahu selamatkan diri,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di ibu pejabat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di sini hari ini. 

Bekas Presiden UMNO itu berkata demikian mengulas soalan pemberita mengenai Pemilihan UMNO 2023  menyaksikan barisan kepimpinan baharu yang mungkin mampu menarik lebih ramai sokongan orang Melayu. 

Terdahulu, perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding dalam pemilihan parti. 

Pemilihan UMNO 2023 menyaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani merupakan dua muka baharu Naib Presiden UMNO setelah masing-masing berjaya dalam persaingan tiga kekosongan jawatan dalam pemilihan parti kelmarin.

Seorang lagi calon, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kekal sebagai Naib Presiden apabila mendapat 114 undi di kedudukan kedua selepas Wan Rosdy manakala Johari pula memperoleh 107 undi.

Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menang selesa untuk persaingan ahli Majlis Tertinggi (MT)

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, 54 ketua UMNO bahagian atau 29 peratus adalah merupakan muka baharu sekali gus memperlihat berlaku perubahan di peringkat akar umbi UMNO di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula masing-masing kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden setelah kedua-dua jawatan itu tidak dipertanding dalam pemilihan parti.-utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya