Tun M dakwa Anwar punca progam Proklamasi Melayu batal

Tun M dakwa Anwar punca progam Proklamasi Melayu batal

Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan dalang di sebalik pembatalan tempahan dewan kali ketiga bagi penganjuran program Proklamasi Melayu yang sepatutnya berlangsung petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan dalang di sebalik pembatalan tempahan dewan kali ketiga bagi penganjuran program Proklamasi Melayu yang sepatutnya berlangsung petang semalam.

Beliau yang juga Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu berkata, tiada apa yang boleh dilakukan seperti pembatalan itu melainkan ia telah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri sehingga menyebabkan pihak pengurusan dewan terpaksa membatalkan tempahan yang sudah dibuat.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu percaya pembatalan program berkenaan kerana merujuk kepada ucapan Anwar sebelum ini yang ditujukan terhadap Tun Dr. Mahathir dan ahli keluarganya.

“Mungkin kami tidak boleh buktikan, tetapi negara ini adalah tanggungjawab Perdana Menteri. Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan ini mendapat persetujuan Perdana Menteri walaupun ia (pembatalan) satu arahan.

“Saya tidak pernah cakap apa-apa terhadap beliau, tetapi, beliaulah yang bercakap. Jadi, saya pasti beliau adalah orang bertanggungjawab di sebalik dalam usaha menutup mulut orang yang mahu bercakap benar,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak melihat penganjuran program itu berniat mencetus isu perkauman sebaliknya, hanya mahu mengumpul orang Melayu untuk menegur kerajaan atas dasar kebebasan bersuara.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan ‘takut’ dengan penganjuran program berkenaan sedangkan ketika bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan parti itu tewas teruk di kesemua 125 kerusi Parlimen.

Proklamasi Melayu di lokasi ketiga yang sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Selayang (IDCC) pukul 3 petang semalam turut dibatal pada saat akhir, selepas berlaku pertukaran di dua lokasi terawal di sebuah hotel di ibu negara dan Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Semalam, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata, lokasi kedua bagi penganjuran program Proklamasi Melayu dihadiri Tun Dr. Mahathir di Pusat Konvensyen Sime Darby, terpaksa dibatal.

Pihak pengurusan dewan telah memaklumkan pembatalan tempahan, namun tidak menyatakan sebarang sebab atas pembatalan tempahan program berkenaan.

Lewat malam semalam, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkongsi lokasi ketiga baharu bagi program tersebut di Selayang, namun akhirnya dibatal juga.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir dijangka menjadi tetamu kehormat pada pelancaran program berkenaan di sebuah hotel di ibu negara. Bagaimanapun, program itu kemudian dipindah ke lokasi lain semalam atas masalah tertentu.

Himpunan itu difahamkan dianjur oleh Sekretariat Tanah Air, dan terdapat sumber mengesahkan ia tiada kaitan dengan pejabat Dr. Mahathir.

Beliau dilaporkan akan hadir ke program itu atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil parti yang baharu disertainya iaitu Putra.

Difahamkan, ia bukan acara politik sebaliknya membincangkan isu-isu berkaitan komuniti Melayu dan Dr. Mahathir dijadual memberi ucapan serta menandatangani proklamasi dalam program berkenaan.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya baru-baru ini, Anwar mengingatkan bahawa kerajaan tidak sekali-kali mengizinkan sebarang usaha oleh pihak tertentu untuk cuba mengadu domba dan menghangat suhu kaum dan agama di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN