GUA MUSANG: Usaha seorang penjual santan di Kampung Kolam Mas di sini, menukar timbunan sabut kelapa kepada cocopeat atau sabut kelapa hancur menjana pendapatan kira-kira RM8,000 sebulan sejak dua tahun lalu.
Mohd. Amir Ibrahim, 34, berkata, idea itu timbul selepas ‘sakit’ mata melihat timbunan sabut kelapa yang terbiar di kawasan kedai santan miliknya itu.
“Berbekalkan duit simpanan sendiri, saya membeli dua buah mesin berharga RM30,000 bagi memproses sabut kelapa halus atau kasar dan membina bengkel.
“Saya melihat cocopeat ini semakin mendapat permintaan sehingga kami tidak menang tangan dan terpaksa mengambil sabut kelapa daripada luar untuk menghasilkannya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Cocopeat sabut kelapa hancur yang digunakan sebagai media penanaman untuk teknik penanaman secara fertigasi atau hidroponik. Ia banyak digunakan dalam teknik fertigasi dan juga dipanggil kaedah pertanian tanpa tanah.
Mohd. Amir yang merupakan usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berkata, dengan bantuan empat pekerja dia menghasilkan 100 sehingga 150 guni cocopeat dalam tempoh sehari.
Katanya, penggunaan cocopeat sebagai media tanaman fertigasi menjadi pilihan kerana mudah dan mesra alam sekitar.
“Ia juga boleh digunakan sebagai bahan untuk membuat guni, tali dan kusyen kereta. Cocopeat ini dijual pada harga RM8 seguni untuk pasaran tempatan di daerah ini,” ujarnya. – UTUSAN