MELAKA: Sebanyak 16 pasukan menyertai Pertandingan Gasing Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2025 yang berlangsung di Gelanggang Gasing Pengkalan Renggam, Kandang dekat sini bermula hari ini hingga Ahad.
Pengerusi pertandingan, Datuk Abu Bakar Abdul berkata, dua buah negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia dan Singapura manakala Thailand terpaksa menarik diri kerana tidak mempunyai kepakaran berkaitan gasing pangkah.
Katanya, banyak negara anggota DMDI ingin mengambil bahagian tetapi tidak memahami kaedah permainan gasing pangkah yang merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu.
Katanya, negeri-negeri yang menyertai ialah Melaka selaku tuan rumah, Terengganu, Kelantan, Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan
“Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bangkitkan isu sukan tradisional gasing pangkah, sudah nampak makin tenggelam dan pupus jadi beliau minta supaya DMDI menganjurkan satu pertandingan antarabangsa dengan menjemput negara anggota serta pasukan tempatan mengambil bahagian.
“Ia bertujuan merancakkan kembali sukan ini daripada terus pupus dan mudah-mudahan dengan pelbagai pertandingan dianjurkan akan mengembangkan semula sukan ini.
“Mohd. Ali turut yakin jika sukan gasing ini dipopularkan kembali mampu menjadi salah satu produk pelancongan di Melaka,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Gasing Pengkalan Renggam, semalam.
Abu Bakar berkata, peserta dibahagikan kepada empat kumpulan di mana juara dan naib juara kumpulan akan layak ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.
Katanya, juara akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi, naib juara pula menerima RM3,000 dan pemenang tempat ketiga mendapat RM1,000. – UTUSAN











