PETALING JAYA: Tiga sekolah yang terkesan daripada banjir di Johor akan dibuka secepat mungkin selepas pembersihan penuh dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, fokus utama ketika ini oleh pihak kementerian adalah keselamatan murid-murid.
Oleh itu jelasnya, sekolah akan dibersihkan dan perabot disediakan sepenuhnya sebelum pembukaan semula sekolah dilakukan.
“Kami tiada tarikh tetap bagi pembukaan sekolah tersebut tapi akan dilakukan apabila semua bersedia sepenuhnya.
“Kementerian Pendidikan sudah menyalurkan bantuan kepada semua sekolah terlibat dari segi kesukarelawan, pakaian dan peralatan sekolah, kewangan serta makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan hari pertama sesi pembukaan sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil PJS1, di sini hari ini.
Terdahulu, lima sekolah di Johor masih tidak dapat beroperasi pada hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 akibat banjir.
Sekolah yang masih tidak boleh beroperasi pada hari ini adalah SK Sri Nasib Baik, SK Sri Mendapat dan SK Tanjung Sembrong. – UTUSAN