Tiada saksi mata lihat rentetan kejadian Darul Quran Ittifiqiyah terbakar - Peguam - Utusan Malaysia

Tiada saksi mata lihat rentetan kejadian Darul Quran Ittifiqiyah terbakar – Peguam

PEMUDA yang dibebaskan daripada tuduhan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah hadir di Mahkamah Rayuan bagi prosiding rayuan pendakwa raya berhubung pembebasannya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, tiada saksi mata yang menyaksikan rentetan kejadian kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat di ibu negara yang mengorbankan 23 penghuni pusat tahfiz itu, enam tahun lalu.

Peguam Haijan Omar berhujah, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan ikut keadaan yang tidak kukuh bagi menyokong kes pembunuhan melibatkan 23 mangsa tersebut.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz marak dijilat api.

Pada prosiding hari ini, Haijan berhujah mewakili penama pertama yang didapati bersalah membunuh kesemua mangsa manakala rakannya yang dinamakan sebagai penama kedua, dibebaskan daripada tuduhan itu.

Masing-masing yang ketika kejadian berusia 16 tahun, kini berumur 22 tahun.

Pada perbicaraan lalu, salah seorang saksi pendakwaan menyatakan dia, tertuduh pertama dan beberapa rakan lain berkumpul di sebuah warung pada pukul 2.38 pagi sebelum mendengar seseorang bertanya ‘bila nak bakar tahfiz?’ namun tidak dapat mengenal pasti pemilik suara berkenaan.

Hujah Haijan, wujud kelompangan dalam kes pendakwaan kerana perbualan tersebut tidak dapat disahkan sama ada benar-benar wujud atau sebaliknya.

Selain itu, hujah Haijan, pihak pendakwaan turut bergantung kepada keterangan ikut keadaan melalui saksi pendakwaan ke-68 dan 69 yang melihat anak guamnya melompat pagar dan memasuki pusat tahfiz itu selain penemuan pemetik api.

“Ini sahaja keterangan ikut keadaan yang disandarkan oleh pihak pendakwaan dalam kes ini,” hujah Haijan.

Peguam bela selanjutnya berhujah, anak guamnya mengemukakan pembelaan alibi bahawa dia tidak berada dalam pusat tahfiz tersebut pada hari kejadian, sebaliknya berada di tangga sebelum pulang ke rumah.

Bagaimanapun Haijan menghujahkan, keterangan alibi langsung tidak disiasat oleh pegawai penyiasat hingga siasatan selesai.

Sehubungan itu, Haijan menghujahkan, sabitan terhadap perayu pertama anak guamnya tidak selamat untuk dikekalkan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah, pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan melalui seorang penghuni pusat tahfiz itu yang melihat kepulan asap ketika terjaga awal pagi hari kejadian.

Hujah beliau, meskipun tidak dapat mengesahkan waktu kejadian, saksi berusia 17 tahun itu menyaksikan asap manakala api ketika itu belum kelihatan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun menetapkan prosiding rayuan bersambung pada 11 Mei ini.

HAIJAN Omar (kiri) dan Asyraf Abu Bakar Hamzah hadir di Mahkamah Rayuan mewakili dua pemuda berkaitan kes pembunuhan 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Mahkamah mendengar rayuan penama pertama yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi membunuh kesemua mangsa dan juga rayuan pendakwaan terhadap keputusan hakim sama yang membebaskan penama kedua.

Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Januari 2020 yang melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.

Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 17 Ogos 2020, Penama 1 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa pihak pembelaan tidak menafikan fakta bahawa terdapat dua tong gas dibawa naik dari bahagian dapur ke hadapan pintu bilik mangsa-mangsa.

Keterangan saksi-saksi turut menyokong mengenai kewujudan petrol dan tong gas di pintu utama pusat tahfiz yang juga laluan utama untuk keluar.

Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN