Tiada monopoli Puspakom: DRB-HICOM sudah dimaklum

Tiada monopoli Puspakom: DRB-HICOM sudah dimaklum

PUTRAJAYA: Keputusan menghentikan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sudah dibincangkan bersama pemiliknya, DRB-HICOM.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau menjelaskan tiada isu berbangkit mengenai keputusan itu kerana ia dibincangkan terlebih dahulu dengan penyedia tunggal perkhidmatan itu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran perbincangan itu.

“Isu penyedia perkhidmatan tunggal itu dan kenapa tidak ada pilihan lain sudah dibangkitkan orang ramai sejak bertahun-tahun, malah turut dibincang di Parlimen.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah pada 2018, kita tubuh satu jawatankuasa untuk menilai semula semua monopoli dalam industri, namun ketika itu konsesi
Puspakom masih berjalan dan hanya berakhir pada 2024.

“Kali ini, saya bawa kembali isu ini ke Kabinet dan minta konsesi ini dilanjut (tambahan 15 tahun) namun, tiada lagi eksklusiviti kepada Puspakom,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ditanya apakah wujud persaingan selepas perkhidmatan itu dibuka kepada lebih satu syarikat, Loke berkata, perkara itu akan dinilai pihaknya kemudian.

“Kita juga ambil kira bahawa pasaran kenderaan diperiksa ini adalah pasaran terhad, kerana ia hanya meliputi kenderaan perdagangan sahaja.

“Jadi kita kena lihat sama ada dia mampan atau tidak apabila kita melantik lebih daripada dua syarikat penyedia perkhidmatan. Pada ketika ini, perkara itu belum ditetapkan lagi,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN