KOTA KINABALU: “Saya cukup terkilan, tak sempat jumpa dia”.
Demikian luahan Samsiah Bahron, 69, mengenai tragedi menimpa cucunya yang juga pelatih guru Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa, Saiful Asraf Mukhtar Saiful Khair.
Saiful Asraf maut akibat terkena renjatan elektrik semasa membantu kerja pembersihan pasca banjir Sekolah Kebangsaan Pagoh, Johor, Ahad lalu.
Pada awalnya memang sukar untuk menerima hakikat anak sulung daripada empat beradik itu meninggal dunia namun Samsiah sekeluarga reda dengan ketentuan takdir.
“Ketika menerima berita Asraf sudah tiada, saya terfikir bolehkah saya menerima panggilan telefon menyatakan Asraf masih bernyawa? Itu dalam fikiran saya tapi bagi orang Islam tak boleh berfikiran sebegitu.
“Saya tidak boleh terima apa yang terjadi kerana dia dalam keadaan yang sihat dan pensyarah IPG juga menyatakan Asraf seorang yang baik dan suka melakukan kerja-kerja sukarela,” katanya semasa menyambut ketibaan jenazah Saiful Asraf di MAS Kargo di sini.
Samsiah yang juga pesara guru berkata, cucunya seorang yang ceria, ringan tulang dan sangat taat serta hormat kepada orang tua.
Menurut beliau, selepas ibu Asraf meninggal dunia lima tahun lalu, Asraf banyak meluangkan masa membantunya dalam mengendalikan pusat urut orang buta di Tawau sebelum dia mendapat tawaran di IPG Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur.
Malah, apabila berita Saiful Asraf meninggal dunia diberitahu kepada orang-orang buta yang bekerja di pusat urut itu, kesemua mereka turut menangis.
Kali terakhir Samsiah bertemu dengan cucunya itu adalah pada 18 Februari lalu di Kuala Lumpur semasa menghadiri majlis perkahwinan keluarga namun, tiada sebarang kelakuan pelik dilihat pada cucunya itu.
Mengulas lanjut katanya, apabila dimaklumkan bedah siasat dilakukan terhadap cucunya itu dilakukan pada petang Ahad, beliau menyifatkan bedah siasat itu tidak perlu kerana dalam Islam mereka perlu reda dan tidak harus mempertikai mana-mana pihak.
Sementara itu, bapanya, Saiful Khair Mohd. Sampon, 47, berkata, arwah anaknya itu menerima tawaran melanjutkan pengajian di IPG bagi kursus pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL).
Kali terakhir anaknya itu berhubung dengannya melalui aplikasi Whatsapp adalah dua hari sebelum anaknya itu disahkan meninggal dunia. Namun, perbualan mereka seperti biasa.
Jelas beliau, sebagai anak sulung yang bijak dan patuh kepada orang tua, arwah anaknya itu adalah harapan keluarga dan sentiasa menjadi contoh terbaik kepada adik-adiknya. – UTUSAN