Terengganu larang ahli politik sampaikan ceramah, kuliah agama  - Utusan Malaysia

Terengganu larang ahli politik sampaikan ceramah, kuliah agama 

SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di Terengganu.

Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan bertindak sebagai Khatib dan Imam solat Jumaat di masjid-masjid.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, peraturan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Shaikh Harun berkata, Sultan Mizan telah menzahirkan rasa duka cita dengan situasi penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada Maidam.

“Masjid adalah sebuah institusi keagamaan yang sangat penting dan mulia bagi umat Islam dan ia adalah lambang kepada penyatuan dan perpaduan ummah yang perlu dimakmurkan dengan sebaik mungkin. 

“Masjid dan surau yang berfungsi dengan baik akan memberi impak yang positif dan bermanfaat kepada masyarakat Islam.

“Justeru masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahgunakan bagi tujuan-tujuan yang boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan serta perselisihan di kalangan masyarakat.

“Ini termasuk menggunakan masjid atau surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti atau program yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur-unsur politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Shaikh Harun menambah, semua pemimpin dan aktivis parti politik juga turut dikenakan larangan yang sama.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan semua penceramah, individu yang memberi kuliah dan tenaga pengajar serta Khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan Maidam.

“Mana-mana program keagamaan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan termasuk jabatan kerajaan, Badan Berkanun Kerajaan, Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diadakan di bangunan agensi atau di tempat awam juga perlu memastikan individu yang dijemput itu mempunyai tauliah dan kelulusan Maidam.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Syariah Pejabat Agama Daerah pula dikehendaki membuat pemantauan terhadap arahan yang dikeluarkan supaya ianya dapat dipatuhi.

“Sultan Mizan juga menyeru supaya semua pihak dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh Maidam dan JHEAT,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya