Tauliah, pelihara Islam penuhi maqasid syariah - Sultan Sharafuddin - Utusan Malaysia

Tauliah, pelihara Islam penuhi maqasid syariah – Sultan Sharafuddin

Tauliah
SULTAN Sharafuddin Idris Shah menyapa jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tauliah mengajar yang disyaratkan di negeri ini kepada penceramah atau pengajar agama bukan untuk menyusahkan, sebaliknya memelihara kesucian Islam daripada tindakan penyebaran unsur-unsur bertentangan.

Justeru, pemeliharaan itu selaras dengan tindakan memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan dilaporkan  bertitah, baginda mempunyai kuasa untuk memberi atau menarik balik tauliah terhadap mana-mana pihak demi memelihara kesucian agama Islam dan mengelak perpecahan dalam kalangan masyarakat penganutnya.

“Undang-undang menetapkan seseorang yang ingin mengajar agama, hendaklah mempunyai tauliah mengajar yang dikeluarkan berdasarkan seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016.

“Justeru, baginda mahu mengingatkan kepada sesiapa yang ingin mengajar agama atau diundang untuk mengajar di masjid atau surau seluruh Selangor, mohonlah Tauliah Mengajar,” katanya, hari ini.

Jelasnya, titah itu selaras baginda sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor seperti yang termaktub di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan kuasa-kuasa diperuntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Baginda yang juga merupakan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) turut menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan memperlekeh dan mempersalahkan pihak berkuasa agama apabila kebenaran tidak diberikan kepada penceramah di masjid dan surau yang tiada tauliah.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat pada hari ini yang bertajuk ‘Tauliah Mengajar: Suatu Keperluan.

“Memetik antara isi penting khutbah, hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang boleh diberikan Tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid-masjid atau surau-surau di seluruh negeri Selangor.

“Justeru, bagi memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka tauliah diperlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, baginda turut menyeru agar semua pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sentiasa mematuhi undang-undang, larangan atau perintah yang diberikan oleh pihak berkuasa agama. 

“Mereka juga hendaklah menggunakan Tauliah Mengajar pada situasi yang betul, bukannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi. 

“Tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu yang disampaikan, yang akhirnya akan menyebabkan masyarakat lebih tertarik kepada penceramah hanya kerana lawaknya tetapi bukan kepada ilmunya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya