Syarikat pengendali umrah didenda RM80,300 gagal patuhi perintah TTPM

Syarikat pengendali umrah didenda RM80,300 gagal patuhi perintah TTPM

MOHD. Nizam Noh (kiri) yang mewakili syarikat pengendali umrah dikendalikannya diiringi pegawai penjara ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah didenda sebanyak RM80,300 oleh Mahkamah Majistret, di sini kerana gagal mematuhi 26 ‘award’ (pampasan) dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dalam tempoh 14 hari, tiga tahun lalu.

Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Massnizam Group Travel and Tours Sdn. Bhd. apabila pengarahnya, Mohd. Nizam Noh, 50, mengaku bersalah terhadap kesemua 26 pertuduhan dihadapi syarikat tersebut dalam prosiding yang berlangsung selama dua hari.

Semalam, syarikat itu didenda RM3,000 untuk setiap satu daripada keseluruhan 13 kes dihadapkan terhadapnya, manakala hari ini, syarikat tersebut didenda RM3,000 bagi setiap satu daripada 10 kes dihadapi serta RM3,300; RM3,500 dan RM4,500 bagi tiga lagi pertuduhan.

Sekiranya gagal membayar denda itu, mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan terhadap syarikat tersebut.

Mengikut pertuduhan, kesemua ‘award’ dikeluarkan TTPM yang gagal dipatuhi itu bertarikh 3 Mac 2020 agar membayar balik wang berjumlah RM395,737 kepada 26 individu dalam tempoh 14 hari sejak tarikh berkenaan namun sehingga kini, bayaran langsung tidak dilakukan.  

Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Muhammad Nizam Amer; Saiful Saidin dan Mohd. Hilmi Abu Hassan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999, manakala syarikat tersebut tidak diwakili peguam.

Mohd. Nizam ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Penjara Kluang, Johor atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Terdahulu, dia merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya dan memohon agar terus ditempatkan di Penjara Kluang sekiranya dijatuhkan hukuman penjara kerana sedang menjalani kelas tahfiz di situ, bagi ‘membetulkan’ dirinya.

Pasukan pendakwaan kemudiannya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dalam kes tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya