Konflik Asia Barat: Andalusia tidak batalkan pakej umrah, haji - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat: Andalusia tidak batalkan pakej umrah, haji

IDA RISWANA dan Che Zakiah Ahmad bertukar dokumen dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Andalusia dan Saudi Airlines (Saudia) di sini. - UTUSAN/MOHD AMARULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) tidak membatalkan sebarang pakej umrah dan haji berikutan ketegangan geopolitik semasa di Asia Barat ketika ini.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pihaknya tidak ada kegusaran mengenai konflik tersebut.

“Setakat ini, tiada pembatalan malah, ramai (jemaah) yang hendak melaksanakan haji dan umrah.

“Alhamdulillah, tiada sebarang asbab dan tiada kegusaran berikutan peperangan (konflik Asia Barat),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Andalusia dan Saudi Airlines di sini.

Jelas beliau, sebelum ini, ketika musim Covid-19 masih ramai jemaah yang hendak mengerjakan umrah.

“Ibadah (umrah) ini tuntutan walaupun berlaku ketakutan namun, tidak membataskan mereka hendak menunaikan haji dan umrah,” katanya.

Ida Riswana memaklumkan, setakat ini, hampir 800 jemaah Andalusia berada di Mekah dan Madinah.

“Malah, ramai juga yang telah merancang untuk mengerjakan umrah tahun ini yang mana pakej Andalusia bermula pada 11 Julai depan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, berikutan isu konflik Asia Barat pihaknya mengakui mengikut nasihat daripada kerajaan.

“Kami dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bahawa tidak perlu bimbang dan keadaan terkawal.

“Jadi, tidak timbul sebarang keraguan dan kerisauan. Kami serahkan kebijaksanan dan 100 peratus bergantung pada keputusan dan komitmen kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN