KUALA LUMPUR: Perkembangan pertuduhan terhadap pelakon Sharnaaz Ahmad kerana mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium tahun lalu, akan diketahui oleh Mahkamah Majistret di sini pada 5 Mei ini.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan tarikh itu bagi mengetahui status representasi yang dikemukakan oleh pelakon tersebut dalam usaha menggugurkan pertuduhan terhadapnya.
Terdahulu, peguam Mohamed Baharuden Mohamed Ariff yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kami memohon satu tarikh untuk menghantar representasi tersebut dan menunggu keputusan (representasi) itu,” katanya semasa sebutan kes. Beliau hadir bersama seorang lagi peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan hari ini dan perkara itu disahkan oleh Mohamed Baharuden.
Pelakon drama bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.
Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika ditemui media, Abu Bakar berkata pihaknya akan memfailkan representasi dalam masa dua minggu selepas meneliti segala dokumen berkaitan pertuduhan tersebut.
“Draf representasi telah siap dan kami memohon agar pertuduhan digugurkan atau satu bon untuk anak guam jika dibenarkan,” kata peguam itu. – UTUSAN