KOTA TINGGI: Status 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir menduduki kertas peperiksaan susulan banjir yang melanda Johor semalam akan ditentukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh berkata, perkara itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat dan laporan penuh berkaitan semua calon berkenaan juga telah dihantar oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Kita jangkakan 89 calon SPM yang terkandas itu perlu mengambil semula kertas peperiksaan yang tidak sempat mereka duduki kerana terjejas banjir. Namun, KPM akan membuat pemakluman rasmi mengenai perkara itu dalam masa terdekat.
“Kerajaan Johor sudah menempatkan 89 calon SPM di pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran pusat peperiksaan bagi memudahkan mereka mengambil baki kertas SPM,” katanya selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, di sini.
Terdahulu, seramai 89 calon SPM membabitkan lapan pusat peperiksaan, iaitu tujuh di Segamat dan sebuah di Kulai dilaporkan terkandas kerana banjir dan tidak hadir menduduki kertas peperiksaan mereka semalam.
Sementara itu, Norliza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata, sebanyak 13 sekolah di negeri ini tidak dapat digunakan sebagai PPS berikutan dijadikan pusat peperiksaan SPM.
“Di daerah Kota Tinggi, kita sudah minta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk hantar calon terjejas ke dewan peperiksaan dan balik ke rumah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana membantu pelajar dan memudahkan calon yang mengambil peperiksaan meskipun ada yang mendudukinya sedikit terlewat namun perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak JPN dan KPM. – UTUSAN