Siti Nuramira masuk wad, bicara ditangguh esok - Utusan Malaysia

Siti Nuramira masuk wad, bicara ditangguh esok

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan hingga esok perbicaraan kes Siti Nuramira Abdullah yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan komediri (stand up comedy) selepas wanita itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Peguam R. Sivaraj memberitahu, anak guamnya diberikan cuti sakit selepas didiagnos mengalami viral gastroenteritis setelah diserang demam, muntah dan kekejangan perut.

Jelasnya, beliau menerima salinan digital sijil cuti sakit daripada Siti Nuramira yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp pagi ini dan penjamin wanita itu sudah diminta hadir ke mahkamah membawa surat berkenaan dan menjelaskan isu ketidakhadiran wanita itu.

Hakim Norhasniah Ab. Razak kemudian meminta peguam bela mengemukakan telefon bimbitnya ke mahkamah bagi membolehkan sijil cuti sakit itu diperiksa.

“Dalam ni (sijil cuti sakit) tiada ditulis dia dimasukkan ke wad atau nombor wad serta tarikh kemasukan. Cuti sakit juga hanya sehari,” jelas hakim berkenaan selepas memeriksa sijil cuti sakit itu.

Beliau kemudian menangguhkan perbicaraan hingga esok selepas penjamin Siti Nuramira hadir dan mengemukakan sijil cuti sakit yang dikeluarkan oleh pihak hospital.

Mahkamah sepatutnya menyambung perbicaraan hari ini dengan mendengar keterangan hos sukarela di Crack House Comedy Club pada sesi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

Prosiding soal balas itu berkaitan rakaman video berdurasi dua minit yang ditayangkan di mahkamah yang didakwa memaparkan seorang wanita membuat persembahan komediri sebelum membuka tudung dan baju kurung dan mengutarakan kata-kata kesat.

Sesi soal balas itu ditangguhkan ke hari ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menyiapkan salinan rakaman video dan diserahkan kepada pembelaan.

Semalam, Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, 26, yang juga saksi pendakwaan pertama memberitahu, Siti Nuramira menyentuh isu agama ketika membuat persembahan komediri sehingga mengejutkan pengunjung premis itu.

Pereka grafik itu turut mendakwa, wanita tersebut menggunakan kata-kata kesat sehingga menimbulkan reaksi bercampur dalam kalangan pengunjung menyebabkannya terpaksa meneutralkan keadaan.

Siti Nuramira, 27, didakwa atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di Crack House Comedy Club, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail di sini kira-kira pukul 6 petang, 4 Jun 2022.

Siti Nuramira yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa atas pertuduhan pindaan membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.

Rakaman video kejadian itu tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kontroversi tidak bermoral yang membawa kepada pendakwaan terhadapnya pada 13 Julai 2022.

Pegawai eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) itu didakwa melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.