Simpanan dua juta ahli KWSP berumur 40 hingga 54 tahun

Simpanan dua juta ahli KWSP berumur 40 hingga 54 tahun kurang daripada RM10,000

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai dua juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 40-54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun mereka.

Malah menurut, KWSP sehingga Disember 2022, seramai 2.64 juta daripada 4.81 juta ahlinya berumur antara 40 hingga 54 tahun merupakan ahli tidak aktif di mana mereka tidak membuat sebarang caruman dalam setahun lepas.

Menurut KWSP dalam satu kenyataan, kesemua 2.64 juta ahli tidak aktif tersebut mempunyai purata simpanan KWSP di antara RM26,109 hingga RM48,605 dengan simpanan median di antara RM3,271 hingga RM9,481.

Katanya, perbezaan yang besar antara purata dan median dalam setiap lingkungan umur menunjukkan jurang ketidaksamaan yang tinggi di antara ahli KWSP, di mana sebahagian kecil ahli memegang bahagian simpanan yang lebih besar.

Jelasnya jumlah simpanan median adalah ukuran yang lebih sesuai untuk membandingkan tahap simpanan ahli KWSP kerana ia mewakili titik tengah simpanan apabila semua simpanan ahli KWSP adalah diatur mengikut urutan menaik dari jumlah terendah ke tertinggi.

KWSP berkata, beberapa faktor menjadi penyumbang jumlah simpanan ahli yang rendah bagi kumpulan umur ini antaranya, gaji permulaan yang lebih rendah bagi mereka yang memulakan kerjaya sebelum gaji minimum Malaysia dilaksanakan pada 2013.

Cabaran struktur gaji di mana 44 peratus penyumbang KWSP mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 dan 81 peratus mempunyai pendapatan kurang dari RM5,000 juga merupakan antara penyumbang tersebut.

“Caruman yang tidak konsisten disebabkan ahli beralih keluar dan masuk dari sektor formal, di mana hanya 45 peratus daripada 4.81 juta ahli dalam kumpulan umur ini telah membuat caruman pada tahun 2022, manakala selebihnya tidak membuat sebarang caruman pada tahun lepas.

“Sebanyak 2.85 juta atau 59 peratus daripada ahli dalam kumpulan umur ini telah memohon satu atau lebih daripada pengeluaran berkaitan Covid-19 dan mengeluarkan sebanyak RM62 bilion, seterusnya mengurangkan lagi jumlah simpanan mereka,” katanya.

Justeru itu, KWSP menyambut baik inisiatif sumbangan one-off sebanyak RM500 oleh Kerajaan yang akan terbuka kepada ahli aktif dan juga tidak aktif sebagai langkah untuk meningkatkan simpanan persaraan ahlinya

“Insentif ini akan menjadi pemangkin kepada pembinaan semula simpanan ahli untuk mencapai persaraan yang lebih selesa dan seterusnya membantu mengurangkan kesan berikutan perkembangan pesat populasi menua Malaysia.

“Butiran program ini sedang diperinci bersama Kementerian Kewangan, tertakluk kepada kelulusan belanjawan daripada Parlimen, dan akan dimaklumkan kepada ahli kelak,” katanya.

KWSP juga turut menegaskan ia memberi keutamaan tertinggi kepada pemeliharaan integriti data ahli dan pematuhan dasar, kawalan, dan prosedur audit yang ketat.-

“Ini sejajar dengan peranan KWSP sebagai pemegang amanah dan pelindung dana simpanan persaraan ahli,” katanya. -utusan

Habis//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya