PETALING JAYA: Penyanyi, Hafiz Hamidun berpandangan seseorang penyanyi nasyid boleh bereksperimentasi dengan peredaran fesyen selagi tidak bertentangan syariat dan menyerupai jantina berlawanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hafiz menambah, tatacara pakaian yang bersesuaian dengan jalur nasyid perlu dihormati supaya tidak ada kecaman atau kritikan yang akhirnya membawa keburukan.
“Saya seorang yang menghormati keputusan atau kreativiti rakan artis lain. Masing-masing mempunyai objektif dan pasukan masing-masing. Mungkin itu pendekatan baharu yang cuba mereka bawa.
“Cuma apabila kita berada di atas pentas, orang akan memberi komen tidak kira baik atau buruk. Kita pastilah mahu publisiti positif, kerana akhirnya kita membawa nama genre ini.
“Kita juga perlu menjaga sensitiviti pelbagai pihak. Cuma selagi tidak bertentangan syariat dan menyerupai wanita, itu terpulang kepada kreativiti masing-masing,” ujarnya.
Hafiz berkata demikian sebagai mengulas kecaman dan kritikan yang diterima ahli kumpulan Saujana, Idzu Baharin berhubung penampilannya di sebuah konsert baru-baru ini.
Idzu yang tampil memakai persalinan serba kemilau dengan bahagian atas lengan berkepuk menerima kecaman selepas segelintir warganet mempersoalkan pemilihan fesyennya itu.
Dalam pada itu, Hafiz berkata, seseorang penyanyi nasyid yang mahu bereksperimen dengan fesyen perlu mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak antaranya penata gaya sebelum memilih busana.
“Kami (UNIC) pernah juga memakain pakaian berkonsep. Ketika itu tema kami adalah Aladin, jadi pakaiannya berkepuk dan berkilau. Jadi mungkin dia juga memilih untuk berkonsepkan tema tertentu,” katanya.