KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau mahu meletak jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas rasa tanggungjawab terhadap beberapa pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah ketika ini.
Namun, beliau membuat keputusan terus berkhidmat sebagai Presiden sebagai tanda terima kasih kepada semua perwakilan Bersatu yang masih memberikan sokongan penuh kepada beliau apabila usul khas penolakan jawatan beliau diluluskan serta-merta.
“Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, saya telah menawarkan peletakan jawatan sebagai Presiden. Ini disebabkan kedudukan saya masa ini yang sedang berhadapan beberapa pertuduhan di mahkamah.
“Sebagai mendokong prinsip dan moto perjuangan parti iaitu bersatu, bermaruah dan beramanah, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap diri saya.
“Bagaimanapun, MPT Bersatu menolak tawaran saya dan hari ini perwakilan meluluskan usul menolak peletakan jawatan Presiden dan atas kehendak perhimpunan, saya meneruskan tugas saya sebagai Presiden,” katanya dalam Pernimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini.
Pada masa sama, beliau juga meluahkan rasa terharu dengan sokongan yang diberikan kepada beliau.
“Saya amat terharu dengan sokongan yang agak luar biasa. Tiga kali bangun, bangun masa usul dibentang, bangun untuk menyokong dan akhirnya semua bangun.
“Saya bangga dengan sikap dan semangat setiakawan serta kesetiaan yang ditunjukkan. Terima kasih saya ucapkan, saya akan teruskan tugas saya untuk memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional (PN),” katanya. – UTUSAN