96 pelajar SMK Tinggi Setapak ikuti PdPR selama dua minggu

96 pelajar SMK Tinggi Setapak ikuti PdPR selama dua minggu

ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kebakaran blok asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 96 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ekoran tragedi kebakaran blok asrama lelaki sekolah tersebut kelmarin.

Pengarah Pendidikan Wi­layah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail berkata, PdPR dilaksanakan selama dua minggu bermula semalam, namun tempoh itu mungkin dipanjangkan mengikut keperluan semasa. 

“Langkah itu bertujuan memulihkan semangat dan emosi pelajar yang terkesan. Kami juga telah menyediakan beberapa pilihan termasuk penempatan sementara di kuarters guru, penyediaan bas untuk ulang-alik ke sekolah serta sokongan psikososial oleh pasukan kaunselor,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seramai 91 pelajar lelaki SMK Tinggi Setapak terselamat dalam kebakaran sekitar pukul 8.30 malam, kelmarin.

Terdapat 96 pelajar berdaftar sebagai penghuni asrama, namun hanya 91 orang berada di premis semasa kejadian manakala lima lagi berada di rumah masing-masing.

Semua pelajar sedang bersedia untuk menunaikan solat Isyak di surau sekolah ketika kejadian.

Dalam pada itu, warden asrama, Muhd. Nazmie Muhd. Nasir, 31, berkata, semasa insiden, pihak sekolah berjaya menga­wal situasi bagi mengelakkan panik dan kejadian tidak diingini, berdasarkan latihan kebakaran yang pernah dijalankan.

“Saya terdengar bunyi kaca pecah dan terus membunyikan loceng penggera kecemasan serta mengarahkan semua pelajar berkumpul di kawasan selamat. Alhamdulillah, tiada kecedera­an dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Shahrul Anuar Abdul Wahab berkata, siasatan punca kebakaran masih dijalankan oleh pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN