KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin yang sedang dibicarakan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan bekas isterinya, Emilia Hanafi, berjaya menggugurkan beberapa perenggan dalam pernyataan bertulis wanita tersebut.
S.M Faisal mengemukakan permohonan tersebut di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas alasan perenggan-perenggan itu tidak praktikal.
Majistret Nadia Othman ketika membenarkan permohonan tersebut kemudian menetapkan 24 Mac ini agar Emilia menyambung keterangan dengan membacakan pernyataan bertulisnya.
Terdahulu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili S.M Faisal berhujah bahawa beberapa perenggan dalam pernyataan Emilia sebagai tidak praktikal dan memohon ia dipadam daripada pernyataan itu.
“Jika mahkamah membenarkannya, saya memohon penyataan saksi tidak dibaca hari ini kerana akan memporak-perandakan sekali gus tiada turutan dalam pernyataan itu” kata Akberdin.
Mendengar permohonan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria kemudian menegaskan tidak adil jika penyataan saksi itu tidak dibaca di mahkamah.
“Sebelum ini, saksi datang ke mahkamah untuk beri keterangan lisan dan hari ini ditetapkan untuk saksi membaca pernyataan secara bertulis.
“Keterangan saksi perlu meneruskan dengan membaca penyataan dan menggugurkan beberapa perenggan seperti dimohon pihak pembelaan,” katanya.
Prosiding hari ini ditetapkan untuk serahan pernyataan bertulis Emilia kepada pihak pembelaan.
Mengikut pertuduhan, S.M Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, pada 22 November 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN