KUALA TERENGGANU: Sebuah keluarga risau apabila mendapati serangan ribuan ulat bulu di dua pokok mempelam di hadapan rumah mereka di Kampung Pulau Bahagia di sini sejak seminggu lalu.
Wan Mohd. Zulhilmi Wan Mohd. Zaidan, 32, berkata, serangan ribuan ulat bulu itu bermula Jumaat lalu setelah disedari seorang jemaah masjid di kampung itu apabila mendapati banyak ulat bulu berada di pokok mempelam itu.
Katanya, jumlah ulat bulu kemudian semakin banyak sehingga memenuhi pokok mempelam sebelum merebak ke pokok mempelam lain berdekatan.
“Pada Isnin lalu, kami terkejut apabila ribuan ulat bulu memenuhi kedua-dua pokok mempelam tersebut serta pagar masjid berdekatan.
“Bimbang jumlah ulat bulu tersebut semakin bertambah, keluarga saya mengupah pekerja syarikat kawalan serangga meracun ulat bulu tersebut, Selasa lalu.
“Namun masih banyak lagi ulat bulu yang hidup dan membiak di pokok mempelam itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Bahagia di sini, hari ini.
Wan Mohd. Zulhilmi memberitahu, keluarganya bimbang ulat bulu tersebut terus membiak dan merebak di kampung ini.
Malah, katanya, dua pokok mempelam yang diserang ulat bulu itu juga hampir mati.
“Saya mengharapkan terdapat agensi kerajaan dapat membantu memusnahkan ulat bulu tersebut,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, keluarganya tidak mengalami masalah kulit gatal sejak kehadiran ulat bulu itu. – UTUSAN











