Ribut Perlis: Kerugian hampir RM1 juta - Utusan Malaysia

Ribut Perlis: Kerugian hampir RM1 juta

RIBUT di Perlis semalam menyebabkan mangsa-mangsa mengalami kerugian hampir RM1 juta di Perlis, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mangsa yang terjejas ekoran ribut di negeri ini semalam dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM973,680,00 khususnya membabitkan kerosakan kediaman, harta benda selain penjaja yang terkesan.

Malah setakat tengah hari ini, sebanyak 297 laporan polis telah diterima daripada orang ramai yang melaporkan kerosakan kediaman, harta benda dan premis perniagaan mereka dengan bilangan kes tertinggi adalah di kawasan Kangar dengan 289 laporan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, mesyuarat khas jawatankuasa bencana negeri telah dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS) sedang giat menjalankan siasatan dan lawatan tapak ke rumah mangsa.

Katanya, ia berdasarkan laporan yang diterima daripada pemimpin masyarakat, amil dan imam di setiap kariah selain mangsa-mangsa yang terlibat.

“Pihak JKM akan menyalurkan bantuan kepada semua mangsa terlibat khususnya bagi membaiki kerosakan kediaman masing-masing berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, manakala MAIPs pula akan menyalurkan bantuan bagi membaiki kerosakan besar.

“Pihak MAIPs juga akan menimbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang berada di luar garis panduan JKM berdasarkan kes tertentu.

“Bagi penjaja dan peniaga yang terlibat dengan kejadian ini, mereka boleh mengemukakan laporan kepada pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi tujuan pertimbangan bantuan oleh jabatan dan agensi yang terlibat,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian ribut kira-kira pukul 4.45 petang semalam, ratusan rumah serta puluhan gerai para peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri sekitar negeri ini antara yang dilaporkan terjejas teruk.

Tambah Hasnol Zam Zam, pihak MPK juga telah mengambil tindakan segera membersihkan kawasan-kawasan terlibat terutama jalan dan laluan kenderaan yang terhalang oleh dahan-dahan dan pokok-pokok tumbang.

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk membantu semua pihak yang terkesan akibat kejadian ribut dan akan memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa-mangsa ini diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya